Selasa, 18 Ogos 2009

Memancing

Memancing adalah merupakan suatu hobi atau kegemaran masa lapang yang semakin digilai dan diminati ramai oleh penduduk Brunei pada masa ini. Malah pihak pihak tertentu saperti Jabatan Perikanan setiap tahun menganjurkan peraduan memancing bagi menggalakkan penduduk Brunei supaya gemar memancing. Dimana saja kita berada, samada kita dikedai kopi, dimajlis kenduri kendara, disana sini kita akan mendengar kisah kisah orang beroleh memancing ikan Bamasa, Barabarahan, Languran, Tenggiri, Pahat Pahat Kuning, Lantaran, Ungah, Kerapu Tikus, Ketumbang dan Selungsong. Yang tidak minat hobi ini akan ternganga saja mendengarnya ataupun gatal hati untuk ingin mencoba bagaimana tarikan ikan ikan yang sentiasa disebut sebut orang atau pun ingin tahu bagaimana rupa ikan ikan Selungsong, Barabarahan, Languarn dan lain lain.

Memancing memang memerlukan sifat sabar, rajin mencari, tidak putus asa, dan tahan lasak. Tidak kurang juga memancing ini memberi kita ketenangan fikiran. Dan dari segi pengetahuan kita akan dapat mempelajari mengenai penggunaan umpan untuk sesuatu tempat, jenis mata pancing yang dipakai, tali (tangsi) yang digunakan untuk sesuatu tempat, kili kili, perambut dan banyak lagi termasuk memahami tentang air pasang surut dan suhunya.

Sebenarnya, saya ini anak seorang nelayan juga dan tidak hairanlah bagi saya memancing ini sudah menjadi kegemaran dan kegilaan saya sejak kecil lagi. Tetapi semasa kecil dulu saya paling tidak suka memancing jauh kelaut bersama bapa sebab takut mabuk laut. Apa lagi kalau melihat lautan yang luas saperti tiada daratan maka semakin rawan lah hati rasanya.

Sebagai seorang nelayan, bapa saya memang kerjanya memancing dan bekarang iaitu menangkap ikan dan udang menggunakan kilong dan balat berdekatan dengan Pulau Muara Besar dan tinggal bermalam dirumah nenek diKg Masjid Lama, Muara. Kini kilong kilong tiada lagi, mungkin cara membuat tidak diturunkan kapada anak anak mereka dan tidak mahu anak anak mereka mengikut jejak langkah mereka sebagai nelayan. Ataupun anak anak mereka yang tidak sanggup memerah tenaga dengan bekerja keras begitu ataupun malu. Semasa kecil dulu dimusim cuti sekolah, bapa akan membawa kita sekeluarga dari kampong air kerumah nenek dengan menggunakan perahunya. Saya lebih suka menghabis masa memancing dikawasan sungai air masin dekat rumah nenek yang dapat didatangi dengan hanya berjalan kaki saja. Tapi kini kampong tersebut sudah tiada lagi dan penduduknya pun sudah dipindah keperumahan Serasa kerana sebab penambahan kawasan pelabuhan air dalam dan projek projek lain.

Ataupun kalau diKampong Air (tempat asal saya), saya suka memancing bersama kawan dengan menaiki perahu kecil yang dipanggil gubang dan kadang kadang menggunakan jumpong (perahu kayu yang belum diburis lagi), berumpankan udang hidup/mati ataupun pumpun (cacing tanah).

Untuk mendapatkan umpan pada masa awal tahun 70an memang mudah untuk memperolehinya. Semasa air surut penuh, sungai Brunei disebelah belakang kampong air ini akan menampakkan tanah seperti didaratan kecuali anak anak sungai kecil akan kelihatan disana sini, maka ramailah kanak kanak, orang remaja dan orang tua akan turun kesungai untuk menjala udang (siar tanam dan siar kapur gelaran untuk udang siang) dan ada juga yang menangkap udang dengan mengunakan tangan iaitu dengan hanya meramas ataupun meraba raba diatas tanah. Kita akan merasa bagaimana bentuk badan udang yang tertanam ditanah dan ditangkap serta terus dimasukkan kedalam baldi ataupun bisin yang ditutup dengan tudung belanga ataupun baju. Tapi awas jangan sampai tersalah raba, kekadang ada juga teramas satak, anak ikan berbisa saperti anak ikan Sembilang, Badukang dan ikan Lapu serta tidak kurang juga ular Tembarukai. Walau pun ular ini tidak berbisa, tapi kata orang ular ini akan berbisa kalau ia mengigit/mematok dengan badannya terbalik dan akan melepaskan bila petir berbunyi.

Memancing disungai Brunei memang menyeronokkan, kalau menggunakan perahu atau jumpong; kita hanya perlu mengayuhkannya kelaut sikit didepan rumah dan berlabuh dengan bersauhkan batu batu berat atau bekas blok enjin. Disini kalau dulu (tahun 70an) ikan ikan senang didapati (sebelum ikan Selungsong diperkenalkan dan dilepaskan diUlu Sungai Brunei pada awal tahun 90an) terutama sekali ikan Ketambak, Kerapu, Sembilang dan lain lain. Ikan ikan ini senang sekali memakan umpan udang hidup atau mati dan pumpun. Tempat ini memang berpotensi dengan berbagai jenis ikan sungai, maklum sajalah tempat ini sudah menjadi takat tiruan dimana setiap air surut penuh, batang atau tiang tiang buruk yang ada dibawah rumah akan dibuang ketempat ini.

Waktu itu saya maseh kecil lagi, ikan yang dipancing pun kecil kecil (besar 3 dan 4 jari dewasa); maklumlah baru berjinak jinak. Tali tangsi yang digunakan pun hanya berkekuatan 10 paun saja dan panjangnya pun lebih kurang 20 kaki saja di gulung menggunakan bekas tin susu dan batu rambat (jala) yang dipotong kecil kecil sebagai pemberatnya. Ikan lebih rakus makan semasa air naik pasang, kadang kadang kita boleh menaikkan ikan ketambak hingga puluhan ekor. Satu perahu berpesta menaikkan ikan ikan tak sampai pun dua tiga minit ikan sudah memakan umpan. Kata orang Brunei “cacah cabur”dibuatnya ataupun ‘rancap’.

Kalau waktu malam pula, ketika air pasang penuh, memancing dibawah rumah boleh membuahkan hasil yang lumayan juga. Maklumlah dulu tiang tiang rumah rapat rapat hanya dari kayu bulian, nibong jadi lumut lumut(gelugut) serta biangsong banyak hinggap dan tumbuh serta ditambah dengan adanya tekuyung tiang dan ketam rama (ketam bersapit biru yang tinggal ditiang) menjadi tarikan ikan ikan kecil dan besar sebagai santapannya. Kita boleh dengar hampir setiap malam ketika air pasang, ikan ikan besar menangkap ketam rama dengan bunyi kocak air yang kuat dipermukaan. Ini akan membuat kita terasa gatal hati untuk menangkapnya termasuklah bapa, dan waktu itu memancing ikan ini belum masok kategori saya. Jadi saya hanya dapat memerhatikan bapa, menggunakan tali tangsi tebal (80 paun) dan mata kail berukuran besar (kail #8 atau #9) berbatu kecil berumpankan ketam rama dan lalu dilabuh kebawah rumah melalui lantai khas untuk membuang sampah. Tak berapa lama, iaitu lebih kurang dua puluh minit ketika asyik mendengar rancangan radio, tiba tiba kerikan bapa yang diperbuat dari kayu terpelanting menyebabkan orang rumah semua terkejut. Bapa terus berlari mendapatkan tali tangsi yang kencang dan bermain beberapa minit saja, ikan yang rakus itu pun dapat dinaikkan dengan berkeras untuk melepaskan diri. Pertama kali saya melihat ikan yang diberi nama ikan Kanai yang beratnya lebih kurang 2 kilo. Ikan ini sejenis dengan ikan Ungah. Ikan ini memang lebih ganas lagi dari ikan Ungah bila memakan umpan. Kini ikan Kanai jarang ditemui lagi, mungkin sudah pupus.


Gambar menunjukkan Ikan Kanai ia itu Black Bass yang dipancing oleh pemancing dari Australia semasa memburu ikan yang paling ganas memakan umpan diPapua New Guinea berumpankan ikan Talapia hidup. Ikan ini katanya boleh membesar hingga seberat 100 lbs (kira kira dalam 45 kg).
Rujukan: Majalah Fishing (Shimano 1996 Fishing Yearbook)

Selain memancing dibawah rumah, memancing didepan rumah juga tidak kurang hebatnya. Tak kira siang atau malam mengikut keadaan air, ikan Kerapu, ikan Merah, ikan Pari, ikan Sembilamg, ikan Kurau, ikan Kalakitok, ikan Languran, ikan Sapihi, ikan Kitang dan lain lain lagi boleh saja kita pancing.

Udang paling senang diperolehi samada untuk umpan ataupun untuk dimakan. Selepas waktu Magrib, disana sini dikampong air, lampu lampu spotlight, atau lampu panjang biasa dan lampu jenis bulb akan menerangi kawasan atas air dihampir setiap rumah, mungkin cahayanya yang panas gunanya untuk menarik perhatian udang untuk berkumpul. Menjala udang untuk mengisi satu baldi penuh tidak memakan masa yang lama, cuma hanya memerlukan 2 – 3 jam saja.

Kini dikampong air, udang udang sangat susah untuk diperolehi. Cuma sekali sekala saja tapi tak sabanyak yang dulu, cukup untuk umpan memancing saja. Mungkin arus kemodenan sudah merubah segalanya dan mengakibatkan pencemaran berlaku. Kantong kantong plastik atau barang barang yang tidak hancur menutupi tanah yang subur sebagai sumber makanan hidupan laut. Ikan ikan mungkin sudah berpindah ketempat yang lebih subur yang mempunyai sumber makanan yang cukup.

Gampar gamparan (sampah) yang hanyut dibawa arus air pasang dan surut dulunya hanya terdiri dari bahan bahan dari hutan belukar saperti daun daun tunjang, buah lingayung, buah pidada, ranting ranting kayu yang buruk, bilak bilakan mata, buah biji getah dan lain lain lagi. Kini gampar gamparan hanya sedikit saja terdiri dari bahan hutan dan kebanyakannya pula terdiri sampah sarap yang kita dapati dari kawasan bandar saperti kantong plastik, bekas botol minuman ringan, bekas kotak minuman, bekas tin minuman, bekas tin roti, sudu plastik, penyedut minuman (straw), bekas makanan ringan, lampin dan lain lain lagi. Semuanya ini tidak akan musnah sampai bila bila dan mencemarkan air sungai. Kalau dulu membeli barang atau ikan, penjual hanya menggunakan kertas surat khabar untuk membungkus, diikat dengan tali purun dan dimasukkan kedalam kantong kertas yang mana semuanya ini boleh musnah dan hancur oleh air. Malah ia menambah kesuburan tanah dan bertambahlah sumber makanan hidupan hidupan sungai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Catat Ulasan