Selasa, 18 Ogos 2009

Sungai Brunei


Kita semua tahu sejarah Brunei bermula dari Kampong Air yang kebanyakkannya penduduk dahulu bermastautin ditepi Sungai Brunei. Malah dari dulu orang asing memanggilnya Venice of Asia. Sungai Brunei adalah satu satunya keperluan serta kemudahan orang orang kampong air tempat mencari nafkah untuk sesuap nasi.

Kebanyakkan penduduknya mencari nafkah bekerja sebagai nelayan menangkap ikan samada menggunakan kilong, lintau, kabat, pukat, rantau, rambat, pancing, bubu mahupun rawai. Untuk menangkap ikan disungai Brunei memang tidak begitu susah pada masa dulu; cuma harga ikan yang dijual tidak berpatutuan dengan tenaga yang mereka perah setiap hari. Kerana kebanyakan nelayan hanya menghantar ikan yang meraka perolihi melalui orang tengah saja. Orang tengah mengambil ikan ikan nelayan jauh lebih murah dan menjualnya dengan harga yang agak tinggi menyebabkan orang tengah lebih kaya dari nelayannya sendiri. Kalau para nelayan sendiri yang menjual tangkapan mereka tanpa adanya orang tengah, mungkin orang kampong air banyak yang menjadi orang kaya mempunyai rumah yang besar besar.

Tapi sekarang zaman sudah berubah kebanyakkan panduduk kampong sudah bekerja dengan kerajaan atupun swasta. Mereka lebih suka makan gaji berbanding dengan bekerja sendiri menjadi seorang nelayan yang mungkin tidak menjanjikan keberhasilannya. Ataupun orang tua mereka tidak mahu anak anak mereka mengikuti jejak langkah mereka sebagai nelayan yang mereka fikirkan lebih banyak risikonya berbanding dengan bekerja dengan kerajaan mahupun swasta.

Zaman dulu (tahun 60an) diawal subuh dari kejauhan kita sudah dapat dengar bunyi enjin sigal (Seagull) ataupun enjin motosangkut berkekuatan 18 kuasa kuda (paling kuat) menderu memecah kesunyian ditambah dengan suara suara mereka bercerita tentang tangkapan mereka atau menceritakan tangkapan orang tua mereka yang lalu. Kadang kadang diselang selikan dengan gelak ketawa dan gurau senda. Tapi sekarang enjin enjin berkekuatan kuasa tinggi sudah menguasai kampong air saperti perahu perahu tambang dan para nelayan sambilan. Kebanyakkan enjin enjin yang digunakan paling rendah 40 – 60 kuasa kuda dan ada juga yang menggunakan enjin berkekuatan 85 kuasa kuda.

Dulu menangkap ikan untuk dimakan saja bolih dijanjikan, cukup dengan membawa rambat(jala) berbekal bekas kerak nasi yang ditaburkan ditempat tempat yang biasa ikan ikan berkeliaran disepanjang titian pail dan lalu rambat pun ditebarkan. Dengan merambat saja bermacam macam jenis ikan yang bolih kita dapat dari Ikan Bilis, Kitang, Kapas Kapas, Gelama, Belais, Sembilang, Garut Garut, Kembura, Buntih, Langisi, Umpak, Kerapu, Languran, Kalakitok danTangat serta bermacam macam jenis ikan lagi.

Kalau menggunakan pukat kembura kita bolih melabuhkannya ditepi tepi tunjang sungai Brunei dan digegar samada dengan tanggar, turus, pengetuk dan parum supaya ikan ikan yang berada ditepi dan dalam bakau serta tunjang lari ketengah sungai dan seterusnya melanggar serta tersangkut kemata pukat yang dibentangkan.

Apalagi kalau merawai ditengah tengah sungai Brunei dikawasan kampong air, dengan melabuhkan dari hujung kampong Burung Pinggai hingga menuju keKampong Sultan Lama cukup hanya satu jam saja kita bolih berhasil menaikkan bejenis jenis ikan yang agak besar dan tagap tagap saperti Ikan Kerapu, Ungah, Langisi, Umpak, Barahan, Senangin, Sembilang, Pari dan Kurau dan banyak lagi.

Tapi sekarang kebersihan serta kesuburan air sungai Brunei sudah agak berkurang dan tercemar kerana terpaksa menurut kecanggihan teknologi supaya negara kita tidak ketinggalan dimana kantong kantong kertas diganti dengan kantong plastik, botol botol kaca pun diganti dengan botol plastik, air minuman tin dan kotak juga dibuat dimana semuanya ini tidak mudah musnah (non-biodegradeable) olih air. Bekas bekas kantong plastik, botol plastik, tin tin minuman sebaik saja dipakai langsung saja mereka buang ketong sampah besar iaitu kesungai. Bayangkan kalau setiap rumah membuang sabiji botol plastik atau kantong plastik sehari, jika seluruh kampong melakukan perkara yang sama bagaimana akan jadinya kalau sampah sampah yang dibuang kesungai hanyut berkumpulan pasti akan nampak kotor. Daripada kekotoran inilah pencemaran pun terjadi menyebabkan air tidak bersih dan tanah dasar tidak subur untuk pembiakan ikan. Perkara ini terjadi adalah kerana tidak ada sifat kesedaran diri tentang kebersihan alam sekitar.

Bagaimana caranya kita mengatasinya?
Apa tindakan yang harus dilakukan?
Siapa yang patut bertindak?
Apa rancangan yang dilakukan untuk mengekalkan kebersihan Sungai Brunei?


Kebersihan Sungai Brunei tidak akan tercapai tanpa adanya sikap kesedaran pada diri kita sendiri sebagai penduduk negara ini. Kita mesti tahu betapa pentingnya kebersihan. Sedangkan dalam agama Islam juga menyarankan untuk menjaga kebersihan kerana kebersiihan itu sebahagian daripada Iman. Kalau kawasan rumah kita bolih kita bersihkan mungkin tiada masalah kalau kita bergotong royong membersihkan negara kita umumnya dan Sungai Brunei ini khasnya.

Disamping bergotong royong bukan dilakukan hanya pada masa kempen kebersihan saja malah kalau bolih diadakan pada setiap minggu untuk selama lamanya. Jadi Sungai Brunei yang bersih akan menjadikan tanah dasarnya subur dan akan mendatangkan hasil sungai yang berpotensi untuk sumber ekonomi penduduk kampong air ataupun sumber ekonomi negara sebagai kawasan pelancongan. Kebersihan Sungai Brunei akan menjadi contoh pada negara negara lain dan akan jadi terkenal. Semuanya ini kalau kita fikirkan secara matangnya dan jauh kedepan adalah semata mata untuk anak cucu cicit kita merasainya juga.

Kalau kesedaran ini ada pada diri kita masing masing, tidak hairanlah Sungai Brunei akan menjadi saperti dulu lagi iaitu dimana ikan ikan Tamban, Rumahan, Temanong dan lain lain masok keSungai Brunei untuk membiak dan beranak pinak.

Selain itu juga kalau bolih ditambahkan tempat tempat pembuangan sampah disetiap mukim dan tempat tempat penampongan sampah sampah yang hanyut ataupun ditambah kapal kapal pemungut sampah yang lebih canggih lagi.


Pihak yang berwajib saperti bahagian Jabatan Alam Sekitar pun bertanggong jawab dalam perkara ini kerana ianya bukan masalah yang remeh temeh kerana kebersihan Sungai Brunei bermakna melambangkan keharmonian negara kita yang hidup bermuafakat serta suka bergotong royong(solidaritas).

Salah satu antara lain yang patut diadakan adalah saperti:
1. Kempen kebersihan diadakan pada setiap minggu bagi setiap mukim.
2. Memberikan taklimat disetiap mukim dikampong air tentang kesedaran betapa pentingnya kebersihan Sungai Brunei untuk generasi kita akan datang.
3. Diadakan peraduan membuat sesuatu dari barang barang yang terpakai.
4. Diberikan kursus pembuatan takat takat tiruan dari barang barang yang terpakai untuk dipasang pada setiap kampong atau mukim.
5. Diadakan peraduan memancing pada setiap mukim atau kampong setelah dua atau tiga bulan takat takat dipasang untuk melihat keberhasilannya.

**Foto diambil dari gferrofotoworks

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.